
Datuk Lee Chong Wei baru sahaja memenangi kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2012 petang tadi dan ia adalah buat kali kelapan beliau melakukannya. Tahniah diucapkan atas prestasi konsisten beliau selepas berjaya menjuarai Terbuka Korea 2012 sebelum ini. Tahun 2012 nampaknya dimulakan dengan begitu baik sekali. Itulah yang diperlukan oleh semua atlit dan wirawan sukan negara. Kejayaan diperingkat awal akan mendorong dan mampu membakar semangat untuk meraih kejayaan yang lebih besar.
Lee Chong Wei menerima piala dan wang tunai bernilai US$30,000 (RM93,990). Lumayan bukan! Perjalanan Lee Chong Wei menjadi pemain nombor satu dunia bukanlah mudah. Banyak cabaran, halangan dan masalah yang dihadapinya. Kita pasti ingin tahu apakah rahsia kejayaan Lee Chong Wei ini.
Apa yang saya nyatakan di bawah ini adalah pandangan peribadi saya melalui pemerhatian berdasarkan perkembangan kejayaan Lee Chong Wei.
1. Mempunyai mentor dan jurulatih yang berpengalaman
Datuk Misbun Sidek adalah sifu dan jurulatih yang banyak membantu beliau sepanjang kareernya sebagai pemain badminton. Misbun juga dikenali sebagai pemain yang banyak menjuarai kejohanan badminton pada zamannya. Kita lihat disini Lee Chong Wei berguru dengan orang yang betul. Iaitu orang yang sudah berjaya. Memang benar kata orang bijak pandai, “jika ingin berjaya, belajarlah dari mereka yang berjaya”
Walaupun ada sedikit masalah tentang hubungan Misbun dengan BAM, Chong Wei tetap terus berhubung dengan mentornya itu.
“Sebelum ini saya ada melawatnya dan mendapatkan pandangan mengenai permainan saya,” itu kata Lee Chong Wei selepas Misbun tidak lagi melatihnya secara formal.
2. Mengekalkan momentum prestasi terbaik
Lee Chong Wei sentiasa berada dalam prestasi terbaik dengan tahap stamina yang mantap membolehkan beliau bermain dengan penuh kesungguhan dan seterusnya mencapai kejayaan.
Chong Wei, sudah meraih tujuh kejuaraan Terbuka Malaysia pada 2011, 2010, 2009, 2008, 2006, 2005 dan 2004, selain muncul naib juara 2003 selepas kalah kepada bintang China, Chen Hong dalam perlawanan akhir.
3. Usaha dan latihan yang konsisten
Kejayaan adalah mengenai bagaimana anda berusaha untuk mendapatkannya. Usaha yang gigih dan berterusan telah banyak membantu Lee Chong Wei meningkatkan prestasinya dari masa ke semasa. Kita pasti masih ingat ketika awal-awal kemunculan Lee Chong Wei yang tidak begitu menonjol prestasinya namun telah berubah dengan banyaknya pada masa sekarang.
Iklan Tajaan
4. Fokus dan matlamat yang jelas
“Saya akan kurangkan kejohanan tahun ini supaya boleh memberi tumpuan pada persediaan Olimpik,” kata Lee Chong Wei.
Lee Chong Wei sudah mengenalpasti awal-awal lagi apakah yang ingin beliau capai, yang mana paling utama, yang mana yang kurang penting. Mempunyai matlamat yang jelas sangat penting supaya kita dapat membuat persiapan dengan rapi bagi menghadapi sesuatu cabaran.
5. Mengkaji kekuatan dan kelemahan pihak lawan (pesaing)
Lee Chong Wei sudah pasti belajar dan mengkaji permainan pihak lawan melalui video rakaman perlawanan dan mendapatkan analisis daripada pakar mengenai taktik permainan yang beliau perlu guna. Dengan menganalisis sebegini, beliau dapat mengelakkan dari melakukan kesilapan yang sama ketika bermain.
6. Sokongan daripada pelbagai pihak
Apabila bermain, Lee Chong Wei perlukan semangat dan ini semuanya datang dari para penyokong Malaysia. Ketika beraksi di luar negara sekalipun, kelibat penyokong sentiasa ada dan ia adalah salah satu rahsia kejayaan Lee Chong Wei. Sokongan bukan hanya ketika di gelanggang, kesediaan pihak pengurusan BAM, MSN, ISN dan pengurusan kejurulatihan memberikan segala bentuk kemudahan, insentif menjadi penyebab kejayaan beliau.
“Kami tak pernah sangsi Chong Wei mampu raih emas Olimpik”, kata Ketua Pengarah MSN yang memperlihatkan sokongan tidak berbelah bagi kepada Lee Chong Wei.
Baiklah, saya tahu ada banyak lagi faktor dan rahsia kejayaan Lee Chong Wei ini. Anda boleh tambah di ruang komen di bawah. Untuk usahawan atau pun bakal usahawan, kita boleh terapkan rahsia-rahsia ini ke dalam perniagaan kita. Misalnya mencari mentor yang sesuai untuk bisnes, sentiasa kekalkan momentum bisnes, fokus dan usaha yang konsisten, mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pesaing bisnes dan tak lupa sentiasa mengharapkan sokongan daripada keluarga terdekat dan rakan-rakan.
p.s: Menurut Buletin Utama, TV3, apabila dicongak-congak jumlah pendapatan yang dikumpul Lee Chong Wei sepanjang tahun 2011, ia berjumlah lebih kurang RM satu juta yang telah diraih oleh beliau. Hebat kan buat duit dengan sukan ni.










Follow Us